Tajuk: Gaya Kognitif Dan Implikasinya Terhadap Pengajaran Dan Pembelajaran
Pengenalan
Pengenalan
Pengetahuan berkenaan gaya kognitif
sangat penting dalam mempengaruhi pembelajaran. Dalam pengajaran dan pembelajaran, murid-murid
perlu berkeupayaan untuk menerima pengajaran dalam pelbagai bentuk elemen
media. Pemikiran mereka
haruslah mampu untuk berimaginasi terhadap subjek yang dipelajari.
Menurut Riding dan Rayner (1998), prestasi pembelajaran seseorang
individu seolah-olah dipengaruhi oleh interaksi antara gaya kognitif pelajar
dan cara bagaimana bahan pembelajaran distrukturkan, mod
persembahan dan jenis isi kandungan. Maka,gaya kognitif
seseorang pelajar berkaitan dengan bagaimana pensyarah menyampaikan pengajaran
dan bagaimana para pelajar menerima maklumat tersebut. Gaya kognitif
juga merupakan penjangka signifikan bagi kejayaan dalam pendidikan
seseorang individu (Parkinson dan Redmond, 2002).
Gaya kognitif adalah
bidang berkaitan dengan tingkah laku iaitu pemilihan strategi
yang digunakan oleh individu dalam pemikirannya. Ia
adalah konsep kepelbagaian dimensi di mana setiap gaya kognitif itu
mempunyai nilai positif dalam keadaan tertentu. Maka,
gaya kognitif ini mempunyai entiti yang tersendiri yang dapat
memberi kepelbagaian kepada manusia.
Selain
itu, gaya kognitif sebagai penjangka yang signifikan kepada
kejayaan individu dan memberikan implikasi yang serius dalam pembelajaran teori
dan praktikal (Parkinson dan Redmond, 2002).
Definisi Gaya Kognitif:
Gaya kognitif lazimnya dihuraikan
sebagai dimensi personaliti yang mempengaruhi sikap, nilai dan interaksi sosial
individu (Azizi Yahaya, Asmah Suboh, Zurihanmi Zakaria, & Fawziah Yahya,
2005).
Gaya kognitif
dirujuk sebagai cara individu memproses maklumat dan sebagai
dimensi personaliti yang mempengaruhi sikap, nilai, dan interaksi sosial
individu (Azizi
Yahaya, Asmah Suboh , Zurihanmi Zakariya dan Fawziah Yahya (2005):6)
Menurut Riding dan Rayner (1998), gaya kognitif
didefinisikan sebagai cara pendekatan seseorang individu untuk menguruskan dan
menyampaikan maklumat. Gaya kognitif merupakan suatu kaedah atau
teknik seseorang itu berfikir, pemahaman dan bertindak balas terhadap sesuatu
idea dan acara (Tennant, 1998; Riding, 1991).
Manakala Ausburn dan Ausburn (1978) menyatakan bahawa gaya
kognitif adalah sebagai suatu dimensi psikologi dalam menyampaikan kaedah yang
konsisten untuk memproses dan mendapatkan maklumat. Begitu juga
dengan Messick (1984) yang menegaskan bahawa gaya kognitif adalah berhubung kait
dengan cara bagaimana seseorang individu itu mengumpul, menganalisis, menilai
dan menginterpretasikan data dan maklumat.
Beberapa
ahli seperti Messik, Zelniker (1990) dan Webwe (1990) dalam Lusiana (1995: 26)
memberikan batasan pengertian gaya kognitif yang serupa, yakni gaya kognitif
merupakan kecenderungan seseorang yang relatif tetap dalam menerima,
memikirkan, dan memecahkan masalah, serta mengingat informasi.
Selain itu, mengikut Garity
(1985), gaya kognitif merujuk kepada cara-cara manusia memproses maklumat dan
pengalaman mereka. Gaya kognitif juga membawa maksud cara-cara manusia
mengamati sesuatu (persepsi), penyusunan dan pemanggilan balik (retrieval) maklumat
dan pengalaman (Lachinger dan Boss 1985). Ia juga merujuk kepada cara-cara
manusia menyelesaikan sesuatu permasalahan. (Dr.Ragbir Haur Joginder Singh (2012):68).
Secara
ringkasnya, gaya kognitif merujuk kepada perbezaan individu dalam memproses
maklumat (aspek melihat, berfikir, menyelesaikan masalah, belajar, berhubung
dengan orang lain dan sebagainya) berasaskan pengalaman hidupnya.
Konsep
Gaya Kognitif
Konsep gaya kognitif ini muncul daripada
usaha-usaha dalam bidang psikologi perbezaan tingkah laku kognitif manusia. Apabila
sesuatu perbezaan tingkah laku kognitif tertentu berlaku dalam keadaan yang
hampir stabil dalam diri seseorang individu,maka label gaya kognitif diberikan
kepada tajuk tingkah laku itu (Azizi, 2005). Gaya kognitif merupakan titian
antara kognitif atau penentuan
kecerdikan dan personaliti.
Ciri-ciri Gaya
Kognitif
Berdasarkan kajian, Herman Witkin telah mengenalpasti terdapat dua
ciri-ciri gaya kognitif yang terdapat dalam pengajaran dan pembelajaran iaitu
Field Independent (FI) dan Field Dependent (FD).
Pada asasnya gaya kognitif FI-FD ini melibatkan cara menganggap
alam sekeliling secara analisis berlawanan dengan cara global. Misalnya,
apabila diberi suatu bentuk geometrik mudah yang disembunyikan dalam suatu
bentuk yang kompleks, individu yang FI lebih cepat dapat mengasingkan bentuk
mudah itu daripada persekitaran kompleksnya, manakala individu yang FD akan
menghadapi kesukaran melakukan aktiviti ini.
FD lebih cenderung kepada kandungan sosial
dan suka kepada hubungan interpersonal. Bidang–bidang yang digemari
termasuk Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Bahasa, Agama, Kejururawatan,
Pemasaran, Pengiklanan, Pengurusan Personal dan Psikologi (klinikal). Manakala
individu yang FI lebih cenderung kepada struktur analisis dan tidak suka kepada
hubungan interpersonal. Bidang-bidang yang digemari termasuklah Matematik,
Fizik, Kimia, Biologi, Senibina, Kejuruteraan, Perubatan dan Psikologi (ujikaji).
Jenis-jenis
Gaya Kognitif
Pada
umumnya, terdapat lima jenis gaya kognitif yang utama iaitu gaya kognitif
analisis, gaya kognitif idealis, gaya kognitif realis, gaya kognitif pragmatik
dan gaya kognitif sintesis. Kebanyakan murid menggunakan kombinasi di antara
lima gaya kognitif tersebut.
i)Gaya
Kognitif Analisis
Murid-murid yang memiliki gaya kognitif
analisis sentiasa mencari sesuatu keputusan yang boleh diramal dan berfikir
secara saintifik untuk mendapatkan keputusan yang dikehendaki. Namun pemikiran
jenis ini sentiasa bimbang jika sesuatu rancangan yang dirangka telah gagal.
Gaya kognitif analisis merangkumi ciri-ciri berikut:-
a) Sentiasa
merancang sesuatu dengan teliti melalui pengumpulan maklumat yang banyak dan
butiran-butiran yang terperinci.
b) Sentiasa
membuat banyak set kriteria dan memilih yang paling baik.
c)
Mempercayai bahawa setiap masalah dapat
diselesaikan dengan adanya maklumat dan
kajian yang mencukupi .
Walau bagaimanapun, murid-murid yang
bergaya kognitif analisis akan menganggap dirinya gagal jika tidak dapat
menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi.
Secara ringkasnya, gaya kognitif
analisis merujuk kepada perancangan yang teliti dan percaya semua masalah dapat
diselesaikan.
ii)Gaya
Kognitif Idealis
Murid-murid yang
mempunyai gaya kognitif idealis sentiasa menerima pandangan orang lain iaitu
bersifat reseptif dan mengambil pandangan yang luas apabila berhadapan dengan
sesuatu masalah. Mereka suka bertanya apabila menghadapi sebarang kemushkilan. Mereka
pentingkan aspek moral dan selalu menyoal diri tentang apa yang dilakukannya.
Selain itu, murid-murid yang bergaya kognitif idealis mempunyai
matlamat yang besar dan berwawasan, Mereka akan fokus kepada matlamat jangka
panjang untuk mencapainya. Mereka suka melibatkan diri dalam proses introspeksi
diri iaitu penilaian diri. Mereka percaya semua masalah dapat diatasi jika
semua orang mempunyai persetujuan dan bekerjasama. Mereka suka melibatkan diri
dalam aktiviti perbincangan, memiliki sifat “suportif” dan sentiasa
mempertimbangkan emosi orang lain.
Secara ringkasnya, gaya kognitif idealis
mempunyai matlamat yang berwawasan dan senang bekerjasama dengan orang lain.
iii)Gaya
Kognitif Pragmatik
Individu-individu yang mempunyai gaya
kognitif pragmatik lebih tertumpu kepada amalan-amalan praktikal dalam
melakukan sesuatu. Mereka tidak bergantung kepada teori semata-mata. Apabila
mereka berdepan dengan masalah, mereka akan mengatasi masalah tersebut secara
realistik dan logik.
Biasanya, mereka suka melakukan
eksperimen dan berdaya inovasi yang tinggi. Semasa melakukan kerja, mereka akan
merangka strategi dan taktik. Pada masa yang sama mereka dapat melakukan
beberapa pekerjaan. Namun, mereka tidak gemar kepada perbincangan yang abstrak
dan tidak suka menilai orang lain. Mereka beranggapan guru yang terbaik ialah
berpengalaman.
Secara ringkasnya, gaya kognitif
pragmatik merujuk kepada pemikiran yang berpandukan pengalaman praktikal dan
pemerhatian serta tidak berasaskan teori.
iv)Gaya
Kognitif Realisme
Individu-individu yang mempunyai gaya kognitif realisme sentiasa
menganggap dunia realiti berdasarkan lima deria mereka iaitu penglihatan,
pendengaran , rasa, hiduan dan sentuhan. Mereka biasanya tidak bergantung
kepada maklumat-maklumat yang didapati daripada buku atau bahan media
semata-mata. Sebaliknya mereka menumpukan kepada apa yang dilihat secara
fizikal. Mereka suka mencari kebenaran kerana mereka menganggap dunia ini
kurang sempurna. Individu yang memiliki fikiran ini dapat membuat keputusan dan
berkeupayaan untuk membetulkan semua masalah. Mereka akan mencari fakta sendiri
dan tidak suka bergantung kepada orang lain atau para pakar.
Walau bagaimanapun, kalau mereka tidak dapat
selesaikan sesuatu masalah, mereka akan bergantung kepada nasihat orang pakar.
Biasanya, mereka suka berinteraksi dan bergaul dengan individu yang pakar dalam
bidang masing-masing dan mempunyai banyak cadangan yang sepadan dengan idea
mereka untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Mereka suka mendapat kata sepakat
dengan semua orang dalam kumpulan yang
sama. Selain itu, mereka suka menulis laporan-laporan yang ringkas dan tepat
sahaja. Mereka lebih gemar terus mencari punca masalah dan fokus kepada
langkah-langkah untuk menyelesaikannya.
Namun, kelemahan utama pengamal ini
ialah kadangkala mereka membuat kesilapan dan berlaku perselisihan
pendapat dalam kalangan pakar bidang
masing-masing. Hal ini berlaku kerana manusia tidak dapat diukur secara
saintifik.
Secara ringkasnya, gaya kognitif
idealisme sentiasa berfokus kepada dunia sebenar, suka mencari kebenaran, gemar
menulis laporan ringkas dan tepat serta fokus kepada masalah utama dalam
penyelesaian, sentiasa cuba menyelesaikan
masalah dengan sendiri sebelum mendapatkan nasihat orang pakar.
v)Gaya
Kognitif Sintesis
Murid-murid
yang mengamalkan gaya kognitif sintesis mampu menjelaskan struktur atau pola
dari sebuah situasi yang belum berlaku. Mereka mampu mengenalpasti sebab-sebab
atau punca-punca sesuatu masalah dan menyelesaikan masalah tersebut dengan
sendiri. Justeru itu, mereka mempunyai kemahiran menggabungkan dan
mengintegrasikan idea-idea serta merumuskan hasil yang dianalisis.
Selain
itu, murid-muird yang berfikiran gaya ini suka melibatkan diri dalam
aktiviti-aktiviti berfikir seperti konsep, rumusan, membuat keputusan, membuat
kesimpulan, rekaan, gubahan dan lain-lain. Mereka
ialah pemikir yang kreatif dan menganggap dunia ini sebagai sesuatu tempat yang
kompleks.
Secara
ringkasnya, murid-murid yang befikiran sintesis suka berhujah, berfikir secara
kreatif, suka membuat penaakulan, dan mampu menyelesaikan masalah dengan sendiri.
Implikasi
Gaya Kognitif Terhadap Pengajaran dan Pembelajaran
Kepentingan
untuk mengenalpasti gaya kognitif merupakan asas kepada pengajaran guru.
Pendidik harus menggunakan instrumen mengukur
gaya kognitif yang mempunyai kepercayaan yang tinggi. Hal ini penting kerana
murid yang diberi peluang untuk belajar mengikut gaya kognitifnya semasa
mempelajari sesuatu yang susah, murid tersebut akan mendapat pencapaian yang
lebih tinggi.
Implikasi
gaya kognitif terhadap pengajaran dan pembelajaran ialah ia dapat menyediakan
maklumat yang berguna kepada guru mengenai
kaedah pengajaran mereka dan memberi kesan kepada penstrukturan
kurikulum dan penilaian dalam sekolah. Kajian mengenai gaya kognitif dapat
menentukan tahap inovasi dalam kaedah-kaedah pengajaran dan penilaian dalam
sekolah.
Selain
itu, implikasi gaya kognitif juga membantu guru-guru dan perancang kurikulum
dalam merancang proses pengajaran dengan lebih sistematik. Justeru itu,
membantu guru profesional memastikan bahawa mereka dapat mengajar dengan kaedah
dan gaya kognitif yang lebih profesional. Begitu juga dapat membantu pakar
kurikulum dalam perancangan pengajaran efektif.
Sementara
itu, guru-guru akan lebih peka terhadap gaya kognitif dan impaknya terhadap
persekitaran pengajaran dan pembelajaran. Seterusnya, metodologi-metodologi
yang dicipta untuk menangani pelbagai jenis gaya kognitif boleh membawa kepada
persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif dan berkesan.
Ahli-ahli kognitif menerangkan bahawa
pembelajaran merupakan perubahan yang berlaku pada maklumat yang tersimpan
dalam ingatan seseorang. Pembelajaran berlaku akibat pemprosesan yang berlaku
dalam minda seseorang. Pembelajaran ini merupakan proses dalaman di mana ia
tidak dapat dilihat tetapi hanya boleh meramal daripada tingkah laku manusia. Antara ahli-ahli teori pembelajaran
kognitif termasuklah Wolfgang Kohler, Max Wertheimer, Kurt Lewin, Jean Piaget,
David Ausubel, Jerome Bruner dan Robert Gagne.
Bagi murid-murid yang mempunyai gaya
kognitif analisis, guru perlu memberi tugasan yang lebih fokus kepada
pembacaan. Semasa pengajaran, guru perlu melihat kepada pengetahuan sedia ada
murid-murid serta mengaitkan teori.
Guru
perlu memperbanyakan aktiviti berkumpulan dan perbincangan seperti kolaboratif
dan sumbangsaran serta menggunakan pelbagai bahan bantu mengajar yang menarik
ketika mengajar untuk murid-murid yang bergaya kognitif idealis .
Mengikut
Bramson (2000), “pemikir pragmatik” adalah fleksibel di mana mencari ganjaran
langsung dan bukan pelan agung yang akan mengubah dunia. Jadi, penekanan
terhadap objektif-objektif harus dimulakan dengan sumber-sumber sedia ada.
Teori pembelajaran Bruner sesuai bagi murid-murid yang mempunyai gaya kognitif
pragmatik kerana fokus utama teori Bruner
ialah penemuan inkuiri.
Guru
perlu memperbanyakan aktiviti amali supaya murid-murid memperoleh lebih banyak
pengalaman di samping aktiviti individu diperbanyakan. Justeru itu, guru perlu
menggunakan bahan bantu mengajar yang konkrit atau maujud. Masa yang mencukupi
haruslah dirancang.
Teori pemprosesan maklumat Gagne sesuai
digunakan untuk murid-murid yang bergaya kognitif realisme kerana input melalui
deria dari persekitaran. Teori ini juga merangsang pengetahuan sedia ada dan
mengingat kembali.
Guru
perlu memperbanyakan aktiviti amali yang melibatkan penggunaan deria. Guru
perlu menyediakan bahan bantu mengajar yang bersesuaian dengan masa dan zaman
kini.
Teori
pembelajaran Gestalt Wolfgang Kohler (1887-1967) boleh diapilkasikan oleh guru
dalam pembelajaran murid-murid yang mempunyai gaya kognitif sintesis, gaya
kognitif realisme. Hal ini demikian kerana teori ini mendorong murid-murid
untuk berfikir secara divergen,
konvergen, induktif, deduktif, kreatif, kritis dan menaakul dalam pengajaran
dan pembelajaran. Justeru itu, teori ini fokus kepada “here and now”.
Bagi
murid-murid yang bergaya kognitif sintesis, guru perlu pelbagaikan bahan bantu
mengajar yang membolehkan murid-murid membuat penaakulan. Aktiviti yang
melibatkan pengiraan juga boleh diperbanyakan.
Kesimpulannya, guru
harus memahami murid-murid dan mengaplikasikan ilmu gaya kognitif ini dalam
pengajaran dan pembelajaran supaya keberkesanan pembelajaran murid-murid mencapai
optimum.
Penutup
Guru perlu memahami murid-murid dan
mengenali gaya kognitif mereka supaya dapat mewujudkan saluran komunikasi yang
lebih terbuka di dalam bilik darjah. Hal ini penting kerana jika
murid-murid mempunyai gaya kognitif yang
sama dengan guru-guru mereka, maka murid-murid tersebut akan mengalami
pengalaman yang berjaya. Murid-murid yang mempunyai persamaan gaya kognitif
dapat bekerjasama dengan lebih baik.
Guru haruslah mempunyai kesedaran gaya
kognitif yang tinggi supaya dapat memenangi kepercayaan murid-murid mereka
dengan mudah. Menurut prinsip-prinsip gaya kognitif, guru perlu mengambil tahu
pemikiran murid-muridnya supaya proses pengajaran dan pembelajaran menjadi
lebih lancar.
Gaya kognitif murid-murid akan
menentukan jenis pembelajaran mereka sama ada auditori, visual, kinestetik dan
sebagainya. Jadi, guru perlu berusaha merapatkan perhubungan dengan murid-murid
supaya memahami gaya kognitif murid-murid.
Kesimpulannya, setiap murid mempunyai
gaya kognitif yang berbeza-beza. Guru harus sentiasa mengambiltahu tentang
murid-muridnya termasuk latar belakang, pengetahuan sedia ada dan gaya
pemikiran mereka. Hal ini penting supaya guru dapat merancang pengajaran dan
pembelajaran yang paling mirip dengan gaya kognitif murid-murid tersebut supaya
dapat mencapai pembelajaran yang optimum dan berkesan.
Refleksi
Dengan sukacitanya, saya telah berjaya
menyiapkan tugasan ini dalam tempoh masa yang diberikan.
Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Encik Azmi selaku
pensyarah bagi subjek ini yang telah banyak membantu dan memberikan tunjuk ajar
kepada saya serta memberi bimbingan dalam tempoh pelaksanaan tugasan ini. Tidak
lupa juga kepada rakan-rakan seperjuangan yang tidak lokek berkongsi idea dan
maklumat kepada saya. Terima kasih juga ditujukan kepada semua pihak yang
terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam proses pembikinan tugasan
ini.
Sebelum membuat tugasan ini, saya memang
kurang memahami daya kognitif dan implikasinya ke atas pengajaran dan
pembelajaran. Saya juga tidak tahu cara untuk membina sebuah laman blog.
Semasa proses pengumpulan
maklumat-maklumat penting, saya dapat memahami lebih lanjut berkenaan
jenis-jenis gaya kognitif dan implikasinya ke atas pengajaran dan pembelajaran.
Saya dapat mengetahui bahawa setiap murid mempunyai daya kognitif yang
berbeza-beza dan guru perlu mengambil tahu daya kognitif yang ada pada setiap
muridnya serta mengaplikasikan daya kognitif yang sama dengan muridnya dalam
pengajaran dan pembelajaran supaya dapat mancapai keberkesanan hasil
pembelajaran.
Secara keseluruhannya, saya berasa
syukur dan sangat beruntung kerana berpeluang belajar membuat blog dengan Puan
Norhafizah. Saya juga akan mengaplikasikan pengalaman tugasan ini dalam proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam sekolah nanti.
Rujukan
1.Gaya Kognitif FI-FD Pelajar Melalui Perisian
Animasi Grafik (n.d.) Retrieved from: http://teknologimalaysia.academia.edu/YahyaBuntat/Papers/1443666/GAYA_KOGNITIF_FI-FD
PELAJAR MELALUI PERISIAN ANIMASI GRAFIK
2.Pengertian
Gaya Kognitif. (2009). Retrieved
from: http://magfirahathar.blogspot.com/2009/11/pengertian-gaya-kognitif.html
3.Gaya Kognitif dan Visualisasi Pelajar Melalui
Perisian Multimedia (n.d.)
Retrieved from: http://myais.fsktm.um.edu.my/7435/1/gaya_vol31_no1_(181-192)_2008.pdf
4.Dr.Ragbir Haur Joginder Singh (2012).Panduan Ilmu
Pendidikan untuk DPLI Psikologi. Selangor :Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.
5.Kepentingan Fungsi Gaya Berfikir Sternberg
Dalam Institusi Pengajian Tinggi (n.d.) Retrieved from: http://eprints.uthm.edu.my/331/1/yee_mei_heong.ICTLHE.pdf
6.Azizi
Yahaya, Asmah Suboh , Zurihanmi Zakariya dan Fawziah Yahya(2005), Aplikasi
Kognitif dalam Pendidikan; PTS Professional Publishing Sdn.Bhd.
No comments:
Post a Comment